13,795 PATI Ditahan Imigresen
Seramai 13,795 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara sejak Januari sehingga 21 Mac lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,613 operasi dijalankan di pelbagai lokasi seperti di kawasan rumah kongsi, tapak pembinaan dan premis perniagaan.
Menurut beliau, pasukannya telah memeriksa seramai 46,189 warga asing dan menahan 13,795 daripada mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah itu, Sabah merupakan negeri yang paling ramai PATI ditahan iaitu seramai 2,107 orang dan diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,895), Johor (1,867), Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,620), Melaka (1,064) dan selebihnya di negeri-negeri lain.
“Semua mereka ini ditahan dalam operasi berjadual Jabatan Imigresen termasuk juga serbuan berdasarkan aduan orang ramai.
“Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dokumen palsu dan pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sumber Berita: Kosmos